mutakhir

'Dakwa Rosmah? Tunggu Peguam Negara'

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

KEPUTUSAN sama ada Datin Seri Rosmah Mansor akan didakwa di mahkamah atau tidak bergantung kepada Peguam Negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa maklumat sama ada isteri kepada bekas Perdana Menteri itu akan dihadapkan ke mahkamah.

“Saya tidak boleh menafikan, tidak boleh kata ‘no’ (tidak) atau ‘yes’ (ya). Setakat ini belum ada maklumat lagi.

“Saya tidak boleh kata ‘yes’ nanti tidak ada, nak kata ‘no’ nanti ada pula. Siasatan semua sudah selesai. Kita serah kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawAR) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Sementara itu, mengulas dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai wujudnya individu menawarkan projek dalam pemilihan PKR, Mohd Shukri berkata, setakat ini, beliau belum pasti mengenai dakwaan berkenaan.

“Beri maklumat kepada kita... kita akan tengok ada asas atau tidak untuk jalankan siasatan.

“Saya tidak boleh komen lagi sebab saya tidak tahu secara jelas. Sama ada sudah dilaporkan atau tidak pun saya tidak pasti, jika belum kita alu-alukan mereka membuat laporan,” katanya.

Anwar semalam mendakwa, wujud individu tertentu yang berkuasa menawarkan projek bagi mendapat sokongan ahli dalam pemilihan parti itu.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 5:27pm
d