mutakhir

Grab dan Uber didenda RM39 juta

SURUHANJAYA Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) mengenakan penalti kewangan sebanyak SGD6,419,647 (kira-kira RM19,431,000)

ke atas Grab dan SGD6,582,055 (RM19,921,000) ke atas Uber bagi menghalang penggabungan yang menjejaskan persaingan.

Dalam satu kenyataan hari ini, CCCS berkata, dalam mengenakan denda itu, ia mengambil kira jumlah dagangan kedua-dua syarikat, sifat, tempoh dan keseriusan pelanggaran, faktor lain seperti sama ada Grab dan Uber memberi kerjasama.

Ini adalah sebahagian daripada Keputusan Pelanggaran CCCS terhadap Grab dan Uber berhubung penjualan perniagaan Asia Tenggara Uber kepada Grab untuk kepentingan 27.5 peratus dalam Grab sebagai pertukaran.

Urus niaga itu selesai pada 26 Mac 2018.

CCCS mendapati transaksi berkenaan membawa kepada pengurangan persaingan yang ketara dalam penyediaan perkhidmatan platform e-hailing di Singapura.

Pada 27 Mac 2018, CCCS memulakan penyiasatan atas asas bahawa transaksi itu mungkin melanggar Akta Persaingan sebagai penggabungan anti-persaingan.

CCCS mencadangkan Arahan Langkah-Langkah Sementara pada 30 Mac 2018 dan memuktamadkannya pada 13 April 2018 untuk mengurangkan kesan transaksi tersebut kepada pemandu dan penumpang, sambil meneruskan siasatan.

Pada 5 Julai 2018, CCCS menyelesaikan siasatannya dan mengeluarkan Keputusan Pelanggaran Dicadangkan terhadap kedua-dua pihak dan mempelawa maklum balas orang ramai mengenai kemungkinan penyelesaian untuk menangani kemudaratan terhadap persaingan berikutan transaksi berkenaan.

Dalam mencapai keputusan muktamadnya, CCCS berkata, ia mempertimbang dengan teliti representasi bertulis dan lisan daripada Grab dan Uber, maklum balas daripada pemain industri, pihak berkepentingan dan orang ramai, serta semua maklumat dan bukti yang ada.

Dalam penemuannya, antara lain, suruhanjaya itu mendapati Grab menaikkan harga selepas penyingkiran pesaing terdekatnya.

CCCS berkata, ia memeriksa dokumen dalaman Grab serta Uber dan mendapati Uber tidak akan meninggalkan pasaran Singapura dengan hanya menamatkan perniagaannya, jika transaksi itu tidak berlaku.

Sebaliknya, Uber akan meneruskan operasinya di Singapura, sambil meneroka pilihan komersial strategik lain, seperti kerjasama dengan pemain pasaran lain atau penjualan kepada pembeli alternatif, katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 5:51pm
d