mutakhir

Tambah anggota forensik bomba

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhasrat menambah jumlah keanggotaan pasukan forensik kebakaran bagi memperkasakan tugasan dalam bidang itu.

Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid berkata, ketika ini terdapat seramai 361 anggota forensik kebakaran di seluruh negara.

Katanya, setiap negeri dan zon mempunyai sekurang-kurangnya empat sehingga enam anggota serta pegawai forensik bergantung kepada kawasan.

“Dalam keadaan sekarang, JBPM mempunyai keperluan untuk menambah keanggotaan forensik bagi memastikan proses penyiasatan sesuatu kes kebakaran dapat dipercepatkan dan lebih mudah.

“Antara tugasan anggota forensik ini adalah untuk mengesan punca sebenar kebakaran dan bahan mudah terbakar yang terdapat di tempat kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Kor Siswa Bomba Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Bandar Baru Nilai, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Pengarah JBPM Negeri Sembilan Norazam Khamis.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berharap kursus forensik turut diperluaskan ke universiti tempatan berikutan bidang itu kini semakin mendapat permintaan.

Katanya, ketika ini banyak syarikat swasta diwujudkan khas bagi menjalankan penyiasatan dalam pelbagai bidang termasuk kebakaran.

“Syarikat sedemikian memerlukan pegawai forensik sendiri yang memainkan peranan jika berlaku kebakaran supaya lebih mudah berurusan dengan syarikat insurans.

“Oleh itu, jika ada kursus sedemikian di universiti, pasti mereka mudah mendapat pekerjaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 6:23pm
d