mutakhir

Tolak cadangan lantik Najib Ketua Umum UMNO

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: UMNO menolak cadangan melantik bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak sebagai Ketua Umum parti itu.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan itu tidak relevan dan bertentangan perlembagaan parti.

“Cadangan itu tidak boleh dilaksanakan, tidak relevan dan tidak ada dalam perlembagaan parti,” katanya selepas menerima kunjungan pemimpin Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Menara Dato Onn, semalam.

Kelmarin, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mencadangkan Najib dilantik sebagai Ketua Umum UMNO dengan serta-merta.

Kata Jamal, menerusi jawatan itu yang turut ada pada PKR, Najib mungkin ada kaedah membela parti secara lebih berkesan.

Sementara itu, Annuar berkata, UMNO melakukan proses pemutihan keahliannya selepas Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini berakhir.

Katanya, ia bertujuan membersihkan UMNO daripada senarai ahli yang meragukan susulan perubahan landskap politik negara ketika ini.

“Pemutihan ahli perlu kerana berlaku perubahan dinamik keahlian UMNO dan ada ahli meragukan. Kali terakhir pemutihan dilakukan beberapa tahun lalu. Kita dapati banyak senarai ahli meninggal dunia dan berhijrah kepada parti lain,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 10:51am
d