mutakhir

Janda stres 'ambil barang'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Tertekan dengan masalah rumah tangga sehingga berlaku perceraian menyebabkan seorang wanita berusia lewat 20-an bertindak menghisap dadah.

Namun tindakannya mengundang padah apabila dia ditahan bersama kekasih dan adik lelakinya dalam Op Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis di sebuah rumah di Padang Nyu di sini.

Operasi di sekitar daerah ini bermula jam 8 malam kelmarin hingga 5 pagi semalam turut menahan tujuh individu lain.

Pengarah AADK Perlis Azizah Ahmad berkata, janda terbabit yang tidak mempunyai anak ditahan bersama kekasih dan adik lelakinya ketika melepak di rumah mereka.

“Adik lelakinya berusia awal 20-an berstatus OKP (Orang Kena Pengawasan) dan operasi malam tadi (kelmarin) sebagai pemeriksaan rutin pihak kami ke atas dirinya.

“Namun selepas mendapati kekasih wanita terbabit ada di dalam rumah, kami menjalankan ujian air kencing ke atas mereka berdua dan didapati positif syabu,” katanya.

Azizah berkata, wanita terbabit mengaku sudah bercerai dan dia dipercayai mengambil barang terlarang akibat tertekan dengan masalah rumah tangga.

“Ini kali pertama dia bersama kekasihnya ditangkap dan mereka bertiga bersama empat lelaki lain ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Tiga lagi penagih diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar kerana memiliki barangan terlarang,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 11:13am
d