mutakhir

Tak mengaku cabul adik ipar [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini, atas pertuduhan mencabul adik iparnya berusia 13 tahun di sebuah rumah tahun lalu.

Tertuduh berusia 31 tahun yang bekerja kampung membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencabul mangsa berusia 13 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Taiping pada 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan.

Kathan dalam rayuannya memohon mahkamah untuk memberikan wang jaminan yang rendah kerana tertuduh hanya bekerja kampung dengan pendapatan bulanan RM1,100.

Menurutnya, tertuduh juga terpaksa menanggung isterinya yang tidak bekerja, dua anak serta ibu bapanya.

Che Noralashiken kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.

Kes akan disebut semula 13 November ini.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 11:40am
d