mutakhir

Hidup dalam sampah

Oleh Siti Rohana Idris

SEJAK lebih 10 tahun lalu, seorang wanita hidup dalam timbunan sampah sarap dalam rumahnya di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat.

Wan Hafsah Che Awan, 39, yang mengalami masalah mental sejak remaja, tinggal di rumah itu berseorangan selepas kematian ibu dan bapa angkatnya sejak 15 tahun lalu.

Keadaan dalam rumah itu yang tidak terurus bermula dari tangga hingga ke dalam rumah dengan timbunan sampah sarap yang terdiri daripada sisa dan bekas makanan serta minuman.

Menurut jirannya Che Umar@Musa Isa, 68, paling menjijikkan apabila najis Wan Hafsah juga bersepah antara timbunan sampah itu.

Katanya Wan Hafsah kerap berjalan bersendirian dan adakalanya sehingga ke Pengkalan Kubor yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

“Selalunya sesiapa yang mengenali Wan Hafsah akan segera menghubungi saya supaya datang mengambilnya di mana-mana lokasi dia ditemui.

“Kami bimbangkan keselamatannya kerana dia perempuan, tapi sudah tabiatnya suka berjalan malah adakalanya keluar separuh bogel,” katanya ketika ditemui hari ini.

Che Umar berkata setiap hari Wan Hafsah akan berjalan dan akan berhenti di kedai kopi apabila merasa lapar seterusnya membawa pulang makanan itu untuk dimakan di rumah yang menyebabkan sampah hasil sisa makanan dan minumannya terus menimbun.

Katanya ada juga penduduk yang datang membersihkan sampah sarap di rumah Wan Hafsah termasuk memandikannya apabila melihat keadaannya sangat busuk dan rumah yang kotor.

Menurutnya lagi, ibu bapa kandung wanita itu berasal dari Narathiwat, Thailand dan dia diambil sebagai anak angkat sebaik dilahirkan.

Che Umar berkata, sudah dua kali dia membawa Wan Hafsah mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) namun keadaannya tidak berubah dan doktor menasihatinya membawa dia pulang.

“Saya pernah memohon untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuknya tapi gagal disebabkan dia bukan berstatus penduduk tetap biarpun sudah hampir 40 menetap di sini.

“Saya buntu memikirkan bagaimana cara untuk membantunya namun mengharapkan ada pihak yang boleh mengusahakan agar Wan Hafisah dibawa ke rumah perlindungan,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 1:09pm
d