mutakhir

Alhamdulillah diberi hidayah selepas 25 tahun

Oleh HM Digital

“CUKUPLAH 25 tahun saya bergelumang dengan najis dadah, Allah SWT akhirnya beri saya peluang untuk berubah dan pulang ke pangkal jalan, kembali diterima keluarga dan mempunyai pekerjaan yang baik.

“Perubahan ini semua bertitik tolak selepas saya tertangkap ketika mengendalikan kegiatan parkir haram dalam satu operasi gelandangan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun lalu sebelum dihantar mengikut program Pemantapan Jati Diri Gelandangan,” kata bekas penagih dadah, Mohd Sabri Osman.

Kata Mohd Sabri, 41 tahun, selama 25 tahun terbabit dengan kegiatan penagihan dadah, dia beberapa kali cuba berhenti daripada terus menagih, namun tidak mempunyai kekuatan diri selain tidak mendapat sokongan terutamanya daripada keluarga.

“Selepas ditahan, saya diberi pilihan sama ada mahu ke penjara atau mengikuti program berkenaan, saya memilih untuk mengikuti program itu yang dijalankan selama tiga bulan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Geo-Kosmo, Kuala Kubu Bharu (Selangor).

“Saya bersama lebih 300 gelandangan yang lain diajar beberapa kemahiran serta latihan jati diri sehinggalah saya diberi kepercayaan untuk menjadi ketua di kalangan mereka.

“Saya rasa lebih bersemangat untuk berubah apabila diberi kepercayaan sebegitu walaupun terpaksa menempuh bermacam-macam dugaan termasuk kerap terbabit dengan pergaduhan sesama gelandangan di situ, namun itu tidak mematahkan semangat saya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dia yang berasal dari Kuala Krau, Temerloh, Pahang berkata, selepas tamat program berkenaan, dia diberi kepercayaan untuk menjadi seorang daripada penjaga di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan yang terletak di Lorong Medan Tuanku 2, Kuala Lumpur, sejak lapan bulan lalu.

“Saya tidak malu untuk mengaku yang saya dulu adalah seorang penagih dadah dan saya sering berkongsi pengalaman sebagai penagih dadah dengan gelandangan lain atau orang luar agar ia menjadi pengajaran.

“Tiada perkara yang baik dalam kehidupan seorang penagih.. kebanyakan wang hasil kutipan kegiatan parkir haram yang saya jalankan, saya habiskan untuk membeli dadah dan ia berlarutan selama lapan tahun sebelum tertangkap,” kata Mohd Sabri yang turut dikenali sebagai ‘Mie Botak’ dalam kalangan gelandangan dan penagih dadah.

Menurutnya, dia mula menagih dadah seawal usia 15 tahun dengan menghisap ganja sebelum ditangkap ketika usianya 18 tahun dan dihantar menjalani pemulihan di sebuah pusat pemulihan dadah di Kedah.

“Hasil pergaulan dengan penagih-penagih lain di pusat pemulihan itu, saya mula mengenal ‘jarum’ (menagih dadah guna suntikan) dan sebaik keluar daripada pusat pemulihan berkenaan, saya terjebak ke alam penagihan dadah yang lebih serius.

“Saya pernah melakukan pelbagai pekerjaan dan kebanyakan wang gaji saya belanjakan untuk membeli dadah, namun saya tidak melakukan jenayah untuk mendapatkan dadah,” katanya lagi.

Mohd Sabri berkata, dia pernah bekerja di kilang elektronik di Shah Alam sekitar 90-an dan tinggal serumah dengan sembilan pekerja lain.

“Kami semua menagih dadah dan dengan duit elaun makan RM10 sehari seorang yang diberi majikan, kami kongsi untuk beli dadah dan makanan.

“RM45 untuk beli dadah dan selebihnya kami beli makanan.. hari-hari kami ‘stim’ (khayal dadah),” katanya.

Mohd Sabri yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia antara empat hingga 15 tahun dengan tiga daripadanya adalah anak tiri, memaklumkan sepanjang hidupnya, sekurang-kurang sudah lima kali dia menjalani pemulihan dan ke penjara kerana dadah.

“Cukuplah.. kehidupan saya lebih baik sekarang walaupun gaji tidak besar, namun ia cukup untuk menampung kehidupan kami anak beranak.

“Kini saya mula mengenal erti kebahagiaan apabila dapat menyerahkan wang belanja kepada isteri dan anak-anak, ia nikmat yang tidak dapat saya gambarkan,” katanya lagi.

Tambahnya, walaupun ayah dan ibunya sudah meninggal dunia, tiga adiknya kini sudah menerima dirinya dan sentiasa memberikan sokongan kepadanya untuk pulih.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 2:56pm
d