mutakhir

Rafizi diarah bela diri tohmah TH

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

NAIB Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli diarah membela diri oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH), dua tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar memutuskan demikian terhadap Mohd Rafizi, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mohd Rafizi didakwa menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, mengandungi tohmahan terhadap TH yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Mohd Rafizi yang diwakili peguam Nik Zarith Nik Moustpha didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada jam 9 pagi 18 Februari 2016.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tiga hari bermula 27 November ini untuk perbicaraan peringkat bela diri.

Sebelum ini, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli memanggil tiga saksi pada pendakwaan pada perbicaraan peringkat pendakwaan yang bermula pada 22 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas prosiding, Mohd Rafizi yakin kes itu bukanlah satu kes fitnah.

“Berdasarkan saksi yang saya ada, saya yakin dan Insya Allah, kes ini bukanlah satu kes fitnah,” katanya.

Nik Zarith pula memberitahu, anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan dijangka memanggil tiga saksi pembelaan pada prosiding perbicaraan kes itu.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 4:22pm
d