mutakhir

Didakwa edar dadah [METROTV]

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas Lee Wooi Keong, 46, di hadapan Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar.

Tertuduh didakwa mengedar syabu seberat 27,275 gram di No 60-62 Kawasan Kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bukit Tengah pada 3 pagi, 12 September lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dianne Ningrad tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, polis merampas 27.28 kilogram syabu serta pelbagai dadah sintetik dan peralatan digunakan bagi penghasilan pil Eramin 5 dalam sebuah kilang pemprosesan dadah terbabit di kilang IKS Bukit Tengah di Bukit Mertajam, dekat sini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 2.13 juta pil Erimin 5; 742.6 kg serbuk dadah Eramin 5; 5,080 pil ekstasi dan 53.7 kg cecair kimia bernilai RM72.5 juta dan pelbagai mesin berjumlah RM500,000 digunakan untuk memproses Erimin 5 terbabit.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 4:50pm
d