mutakhir

Suri rumah nafi dera anak

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SURI RUMAH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tiga pertuduhan mendera dua anaknya sehingga meninggalkan parut di beberapa bahagian badan, Ogos lalu.

Ibu muda berusia 19 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada anak perempuannya berusia dua tahun dua bulan dan bayi lelaki berusia enam bulan sehingga mengalami kecederaan dan meninggalkan parut di beberapa bahagian badan antaranya kedua-dua belah tangan kiri dan kanan, muka serta kaki.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sentul antara jam 3 petang hingga 4 petang antara 6 Ogos lalu dan 18 September lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 23 Oktober ini untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan jatuh hukum.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 5:04pm
d