mutakhir

Setuju dengan Dr Mujahid

Oleh Petah Wazzan Iskandar

TIADA pendakwah Islam dan bukan Islam boleh diterima di negara ini, jika mereka bersikap merendah atau cuba menghina agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkaitan isu penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik yang sering dianggap merendahkan agama lain.

Katanya, kaedah menghina sesuatu agama boleh menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat terutamanya di negara ini yang mempunyai kepelbagaian kaum dan etnik.

“Saya setuju dengan kenyataan Mujahid mengenai Dr Zakir, namun apa yang saya mahu tegaskan tidak kira agama apa sekalipun, kaedah merendahkan agama lain tidak sepatutnya berlaku.

“Amat penting bagi semua pihak saling faham kerana tindakan itu (merendahkan agama) hanya akan menjejaskan hubungan etnik dan masyarakat berbilang agama,” katanya yang ditemui pada program bersama masyarakat Siam di Wat Siam Kampung Lampam, Pendang, hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan Mujahid mendakwa Dr Zakir suka menghina dan mencaci agama lain yang dilihat tidak sesuai dengan Malaysia yang bertunjangkan kepelbagaian kaum dan etnik.

Mujahid berkata demikian pada ucaptama Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dengan memberikan contoh mengenai kaedah diterapkan penceramah kontroversi, Dr Zakir.

Terdahulu, Waytha Moorthy meluangkan masa lebih sejam bertemu bersama pemimpin masyarakat Siam bagi mendengar masalah dan pandangan yang boleh dibawa ke peringkat tertinggi untuk tindakan susulan.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 5:30pm
d