mutakhir

Salleh dapat kad pengenalan baru

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG warga emas berusia 99 tahun dari Kampung Pulau Haji Nik Mat, Tumpat ceria apabila menerima kad pengenalan baru selepas beberapa tahun tidak memperbaharuinya.

Salleh Saamah yang hanya tinggal berdua bersama anaknya, Maimunah Salleh, 64, sudah terlalu uzur dan tidak mampu untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan di Kota Bharu berikutan kurang sihat serta tiada pengangkutan untuk membawanya ke JPN.

Maimunah berkata, Salleh juga menghidap penyakit batu karang dan adalah mustahil untuknya membawa bapanya itu menaiki bot sebelum menggunakan kenderaan darat untuk ke JPN di Kota Bharu.

“Jika untuk berjalan pun ayah sudah tidak boleh, apatah lagi untuknya menaiki bot dan kereta untuk ke Kota Bharu.

“Nasib baik pihak JPN datang ke rumah untuk memperbaharui kad pengenalan ayah dan juga sudi menyerahkan kembali kepadanya hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Maimunah yang juga seorang ibu tunggal tidak mempunyai anak dan disebabkan itu tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk membantu membawa bapanya memperbaharui kad pengenalan.

Salleh adalah antara empat individu yang menerima kad pengenalan baru dalam program Kembara Mobile 2018, hari ini.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 5:43pm
d