mutakhir

Panggil bomba pasal anak kucing...

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SEPASUKAN anggota bomba terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan seekor anak kucing berusia seminggu yang terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di Taman Seri Serting, Jempol, hari ini.

Pemilik rumah itu, Norsalina Salim, 37, berkata dia terdengar bunyi anak kucing berkenaan mengiau ketika membasuh pakaian pada 11 pagi.

Katanya, beberapa jiran dan ahli keluarga cuba untuk menurunkan anak kucing berkenaan yang dipercayai dibawa naik oleh ibunya, namun tidak berjaya kerana bumbung itu agak tinggi.

“Beberapa rakan kemudian mencadangkan saya menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol Saiful Anuar Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.23 petang sebelum enam anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk membawa turun anak kucing terbabit. Pemeriksaan mendapati ia tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 7:08pm
d