mutakhir

'Semoga murah rezeki, Bob Lokman'

Oleh Norzamira Che Noh

SELEPAS enam bulan keluar masuk hospital, Bob Lokman kini beransur pulih dan mahu berniaga nasi ayam kampung goreng di Masjid Al-Ibtisam di Taman TTDI Jaya, Shah Alam bermula esok.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 54, berkata dia kini hanya perlu ke hospital sebulan sekali untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sekali gus mempunyai masa untuk berniaga bagi mencari rezeki.

“Alhamdulillah, kesihatan bertambah baik dan apabila ada orang masjid menawarkan tapak untuk berniaga, saya setuju untuk kembali berniaga semula selepas lama berehat.

“Pada permulaannya, gerai saya akan beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang setiap hari kecuali Isnin dengan menu nasi ayam kampung goreng berserta kuah kari, sayur goreng dan sambal belacan.

“Ia adalah menu makan tengah hari orang Kelantan dan setiap satu dijual pada harga RM7.50,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Ibtisam, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, jumlah menu akan bertambah dari semasa ke semasa mengikut sambutan yang diterima.

Katanya, dia yang dibantu anaknya, adik serta anak saudara akan menyediakan makanan untuk 200 orang sahaja.

“Saya mempunyai banyak perancangan dan saya rasa lokasi ini juga strategik kerana terdapat banyak kilang dan pejabat di sekitar kawasan ini, malah orang ramai juga sering keluar masuk di sini kerana ia kawasan masjid.

“Jika perniagaan ini mendapat sambutan baik, saya bercadang menambah pelbagai menu lain seperti asam pedas serta ayam kurma. Selain itu, waktu operasi juga boleh dipanjangkan,” katanya.

Sementara itu, Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella yang dipopularkan kumpulan Search berkata, dia terpaksa mengambil 13 jenis ubat termasuk penyakit jantung, paru-paru dan kencing manis setiap bulan dengan kos melebihi RM1,000.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 8:00pm
d