mutakhir

PTK mudahkan peserta, pengguna

Oleh BERNAMA

PASAR Tani Kekal (PTK) yang diwujudkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan RM169 juta, dari Januari hingga Ogos tahun ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 27 PTK di seluruh negara dengan lebih 1,500 usahawan mengusahakan pelbagai produk pertanian, perikanan dan makanan.

“Kewujudan PTK membantu meningkatkan pendapatan peserta. Kami percaya mereka memperoleh sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan atau lebih lagi, selain memberi peluang kepada mereka yang mencari tapak berniaga.

“PTK turut memudahkan masyarakat mendapat bekalan makanan dan memendekkan rantaian makanan iaitu terus daripada sumber tanpa menerusi orang tengah yang dapat memberikan harga lebih berpatutan,” katanya selepas pelancaran Karnival@PTK Jengka 2018 di Bandar Tun Razak, Maran, semalam.

Ahmad berkata, setakat ini, terdapat lima PTK dalam pembinaan manakala 12 lagi sedang dalam perancangan bagi mewujudkan lebih banyak platform niaga selesa dan kondusif kepada peniaga dan pengguna.

Beliau berkata, perancangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kesesuaian lokasi dan peruntukan, selain mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jika semuanya berjalan lancar, PTK sedikit sebanyak dapat membantu FAMA mencapai sasaran mewujudkan kira-kira 1,000 pasar tani di seluruh negara, yang setakat ini berjumlah 750,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya sedang melakukan proses tapisan mencari 501 menu juadah popular dari semua negeri bagi menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018.

“Kami memberi peluang kepada pengusaha makanan tradisional dan menu baharu atau inovasi produk makanan tradisi... sebagai contoh hari ini, di Pahang kami diperkenalkan dengan menu ikan patin tempoyak claypot.

“Begitu juga dengan inovasi pes pais patin. MAHA 2018 adalah platform terbaik kepada pengusaha makanan baharu untuk mempromosikan produk makanan mereka,” katanya.

MAHA 2018 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor selama 11 hari bermula 22 November depan menyasarkan lebih 3.5 juta pengunjung.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 12:44am
d