mutakhir

Tempa kerjaya masa depan

Oleh Suliati Asri

Kuala Lumpur: Usaha mengetengahkan kemahiran pelajar dalam dunia digital diperkukuhkan lagi melalui #mydigitalmaker Fair 2018 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menariknya, pameran yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menampilkan produk digital hasil ciptaan pelajar, robotik, pembuatan dan perlumbaan dron, percetakan 3D, ceramah kerjaya dan pertandingan berasaskan digital.

Pameran ini adalah sebahagian daripada konsep #mydigitalmaker Movement iaitu mempersiapkan generasi muda mengharungi kerjaya pada masa akan datang.

Melalui usaha sama akademik awam dan swasta, #mydigitalmaker Movement mengubah belia daripada pengguna teknologi kepada pembuat digital.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar Pendidikan dan Kemajuan) Kementerian Pendidikan Datuk Sulaiman Wak berkata, permulaan segala perubahan adalah melalui pendidikan.

Beliau percaya dengan memberi kuasa kepada anak muda melalui ilmu pengetahuan, mereka bukan saja dapat merangkul teknologi digital tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhannya.

“Malaysia mahu melihat belia menjadi pengeluar serta pembuat digital dan langkah pertama adalah untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pemikiran yang betul.

“Jadi, kementerian komited memperkukuhkan pelajar untuk menghadapi kerjaya masa depan dengan mengintegrasikan teknologi digital ke dalam kurikulum sekolah kebangsaan,” katanya.

Justeru, projek yang dilancarkan Ogos dua tahun lalu memberi tumpuan kepada kemahiran seperti pengekodan, pembangunan aplikasi, pencetakan 3D, robotik, pengaturcaraan dan analisis data yang mana semuanya akan membantu mengukuhkan kemahiran penyelesaian masalah serta kreativiti dalam kalangan generasi masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood berkata, memupuk wira digital bukan hanya tanggungjawab seorang individu tetapi ia tanggungjawab bersama.

“Oleh itu usaha sama akademik awam dan swasta adalah kunci untuk menghidupkan ekosistem yang akan merealisasikan sebuah negara digital,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Engage Media yang juga rakan acara rasmi #mydigitalmaker Fair 2018 Chung Tack Soon berkata pihaknya bangga dapat menjadi rakan kongsi Pergerakan #mydigitalmaker dan berharap dapat membina satu daripada ekosistem pembuat digital yang terkuat di rantau ini.

“Kewujudan #mydigitalmaker Movement adalah langkah yang tepat untuk melengkapi belia dengan pengetahuan dan alat pembelajaran digital yang relevan bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi Revolusi Perindustrian ke-4,” katanya.

Pameran ini turut dibawa khas rakan industri lain seperti ADV Fusionex Sdn Bhd, Digi Telecommunications, Microsoft Malaysia Sdn Bhd, Shell Malaysia dan Yayasan Sime Darby.

#mydigitalmaker Fair 2018 menawarkan pelbagai aktiviti lain antaranya pertandingan pembuat digital, robotik, pembuatan dan perlumbaan dron, kecerdasan buatan (AI), percetakan 3D, permainan video, sukan digital, pengekodan dan mikrokontroler.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 11:30am
d