mutakhir

Tunai amanat arwah ayah

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Permaisuri: Tekad menyambung pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagi memenuhi amanat terakhir Allahyarham bapanya membawa tuah buat Azreen Nabila Alias hingga muncul sebagai ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang berakhir Sabtu lalu.

Pelari muda Terengganu berusia 18 tahun itu berkata, dia beberapa kali menerima surat tawaran SSBJ ketika belajar di Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu tetapi berat hati menerimanya kerana enggan berjauhan dengan keluarga.

“Bagaimanapun, arwah bapa, Alias Che Ngah sering menasihatkan saya untuk terima tawaran itu kerana dapat membantu mengembangkan lagi bakat dalam sukan olahraga.

“Sehari sebelum bapa meninggal dunia kerana sakit jantung pada 2014, dia sempat meninggalkan pesanan yang sama menyebabkan saya nekad mendaftar di SSBJ pada Julai lalu.

“Saya mengikuti Program Pra-U selain kemudahan latihan sukan di sekolah itu lebih lengkap,” katanya ketika ditemui di Kampung Saujana di sini, semalam.

Azreen Nabila berkata, sokongan kuat seluruh ahli keluarga terutama ibunya, Khatijah Ali, 57, yang hadir di setiap lokasi kejohanan menjadi pembakar semangat untuknya meraih kejayaan cemerlang.

“Kejayaan merangkul tiga pingat emas dalam tiga acara 100 meter (m), 200m dan 4x100m termasuk memecah rekod SUKMA 100m memberi kepuasan tersendiri.

“Saya pernah kecewa dan terkilan tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Perak ketika kali pertama mewakili Terengganu sewaktu berada di sekolah rendah kerana mengalami demam campak pada hari pertandingan,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 11:34am
d