mutakhir

Musibah tak sudah-sudah

Oleh Hassan Omar

Melaka: Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitu ibarat kehidupan keluarga Mohd Sharil Abdul Aziz, 33, apabila rumah didiami bersama isteri dan lima anak termasuk dua orang kurang upaya (OKU) terbakar, Jumaat lalu.

Kebakaran itu menyebabkan dapur dan siling ruang tamu rumah mereka di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling di sini, rosak.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, Mohd Sharil dan isteri, Noor Azura Roslan, 32, serta lima anak mereka berusia antara tujuh hingga 14 tahun tidur di tiga bilik berasingan, sebelum berlaku kebakaran dari dapur.

Ibu mangsa, Rukayah Manaf, 57, berkata, sejurus melihat kebakaran itu, Mohd Sharil mengejutkan isteri dan anaknya keluar dari rumah bagi mengelakkan mereka terperangkap.

“Anak saya menghubungi bomba dan dengan dibantu beberapa jiran, mereka masuk semula ke dalam rumah untuk memadamkan kebakaran.

“Alhamdulillah, sejurus anggota bomba tiba api sudah dipadamkan, namun banyak peralatan musnah termasuk peti sejuk, mesin basuh dan dapur,” katanya, semalam.

Susulan kejadian itu, Mohd Sharil bersama keluarganya kini menumpang di rumah Rukayah, 30 meter dari lokasi kejadian.

Rukayah berkata, sebelum ini dia bersama enam anaknya menghuni rumah itu termasuk dua daripada mereka yang berkeluarga dan tidak mampu menyewa rumah lain.

“Kini, Mohd Sharil sekeluarga pula menumpang di sini sementara berusaha mendapatkan bantuan membaik pulih rumahnya.

“Dia (Mohd Sharil) juga tiada kerja tetap, cuma bergantung kepada pendapatan sebagai buruh kontrak, selain mengambil upah memotong rumput manakala isterinya tidak bekerja,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Ali Hassan Ahmad Shamsuddin berkata, beliau berusaha mendapatkan bantuan Tabung Bantuan Bencana Negeri bagi meringankan beban mangsa.

Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Rukayah di talian 017-3300973.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 11:58am
d