mutakhir

Tak sempat lintas jalan

Oleh Adnan Ibrahim

LELAKI yang juga orang kurang upaya maut selepas dilanggar motosikal di Jalan Kampung Paya, Kluang kira-kira jam 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, Wong Yong Sing, 64, dipercayai melintas secara tiba-tiba menyebabkan motosikal dari arah Kampung Paya tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom kira-kira sejam kemudian.

“Penunggang motosikal terbabit yang berasal dari Taman Kluang Barat hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya.

Mohd Abduh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan dalam masa sama mengharapkan orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.

“Mayat mangsa dituntut oleh ahli keluarga selepas bedah siasat awal pagi tadi,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 12:44pm
d