mutakhir

'Sekelip mata, saya hilang dua sahabat...'

Oleh Zaid Salim

“SAYA tidak menyangka kehilangan mereka selepas 45 minit mereka menghantar saya di rumah keluarga di Kampung Losong,” kata Imannuddin Ahmad Zaidi, 19, rakan kepada mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan Proton Iswara dan Proton Wira di simpang tiga Felda Belara, di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada kejadian 10.30 malam itu, rakan Imannuddin, Che Wan Hasbullah Che Wan Zubaidi, 22, dari Kampung Raja, Besut, dan Syaifudeen Sobree Abdul Rahman, 24, dari Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, maut.

Kedua-duanya menaiki Proton Iswara.

Turut terkorban, penumpang Proton Wira, Mohd Kamarul Zaman Asdi, 24, dari Kampung Gerdong, Hulu Terengganu.

Menurut Imannuddin, sebelum kejadian, dia bersama tiga rakannya termasuk Syaifudeen Sobree dan Che Wan Hasbullah dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk bercuti.

"Sebaik tiba di Kuala Terengganu jam 10 malam, mereka menghantar saya di rumah keluarga di Kampung Losong Haji Shafie sebelum meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing iaitu di Kampung Raja, Besut, Cerang Ruku, Pasir Puteh dan Tumpat, Kelantan.

"Bagaimanapun, semua mereka tidak sempat menemui keluarga apabila kereta mereka terbabit dengan kemalangan dekat FELDA Belara yang meragut nyawa Sobree dan Hasbullah," katanya ketika di temui di perkarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Imannuddin berkata, dia ada menghubungi Syaifudeen Sobree selepas 25 minit berada di rumah untuk bertanyakan lokasi mereka ketika itu, tetapi panggilan tidak berjawab.

“Saya menyangka mereka sudah tidur,” katanya yang mendapat tahu berita berkenaan menerusi media sosial kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, dia mengakui terkejut dan bingung kerana tidak menyangka kehilangan rakan dalam sekelip mata.

“Saya rapat dengan Sobree dan tidak menyangka pelawaannya untuk pulang bersamanya ke kampung menjadi pertemuan terakhir kami.

“Sobree beriya-iya mengajak saya pulang bersamanya sedangkan saya sudah bercadang untuk membeli tiket bas dan ini kali pertama saya pulang ke kampung bersama mereka," katanya.

Sementara itu, bapa kepada Mohd Kamarul Zaman, Asdi Mohd, 58, dari Kampung Gerdong, Hulu Terengganu berkata, dia reda dengan ketentuan Allah dan menerima kehilangan anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Idris Abd Rafar berkata, kemalangan dikatakan berlaku jam 10.40 malam mengakibatkan tiga maut dan tiga cedera.

"Kita masih menjalankan siasatan bagaimana kemalangan itu berlaku dan semua jenazah sudah diserahkan kepada waris masing-masing untuk dikebumikan, " katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Berita berkaitan

Tiga maut nahas dua kereta [METROTV]

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 3:38pm
d