mutakhir

Suspek buli jalan raya direman

Oleh Mohamed Basyir

MAHKAMAH Majistret Balik Pulau hari ini, membenarkan suspek kes buli jalan raya di Bulatan Bayan Indah, Bayan Baru direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati, berkuat kuasa hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun sama.

Semalam, pekerja kilang berusia 30 tahun itu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes buli di jalan raya di lokasi terbabit dengan video yang mempamerkan aksinya itu tular di laman sosial.

Suspek yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu ditahan di Teluk Kumbar, pada jam 12.15 tengah hari semalam.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan bertindak menendang cermin sisi kenderaan dinaiki mangsa, selain merampas telefon bimbit sepasang suami isteri terbabit dan menarik rambut seorang wanita.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya dan berjaya dileraikan orang awam, sebelum keluarga mangsa kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 4:22pm
d