mutakhir

Rosmah masih di SPRM selepas 10 jam...

Oleh Nor Azizah Mokhtar dan Hashini Kavishtri Kannan

ISTERI bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor didapati masih berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya selepas 10 jam diambil keterangan.

Rosmah sebelum itu dilihat muncul di ibu pejabat SPRM pada 9.50 pagi dengan menaiki Proton Perdana untuk memberi keterangan bagi kali kedua dalam tempoh tiga bulan kepada SPRM.

Beliau ditemani peguamnya Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent.

Dia yang memakai baju kurung berwarna hijau dilihat tenang dan turut melemparkan senyuman kepada lebih 40 petugas media yang membuat liputan di perkarangan bangunan SPRM itu.

Setakat jam 8 malam ini, sesi mengambil keterangan ke atas Rosmah masih berlanjutan.

Menurut sumber, tindakan memanggil Rosmah bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Sebelum ini, pada 5 Jun lalu, Rosmah disoal siasat selama lima jam berhubung siasatan SPRM ke atas syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Semalam, pegawai SPRM hadir ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta bagi memberi notis kepada Rosmah untuk diambil keterangan kes sama.

Berita berkaitan

Rosmah disoal siasat SPRM pagi ini [METROTV]

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 8:49pm
d