mutakhir

Hentikan penyangak ikan

Oleh Kandau Sidi

KERAKUSAN penyangak ikan dalam kalangan nelayan asing yang membolot khazanah laut di wilayah utara Sarawak perlu disekat.

Malah, kerajaan negeri digesa mengambil tindakan lebih tegas bagi memerangi kegiatan mereka yang turut menyebabkan kemusnahan hidupan maritim.

Ia juga sebagai langkah melindungi dan memastikan kepentingan sumber marin terus berkekalan, sekali gus mengekalkan sumber perikanan sedia ada sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan rakyat Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, isu pencerobohan nelayan asing semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan perlu ditangani secara lebih holistik.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menjelaskan kegiatan itu jika terus dibiarkan bukan hanya menyebabkan kehilangan hasil negeri, bahkan turut menjejaskan kepelbagaian sumber maritim dimiliki.

“Bagi penyangak ikan ini, mereka sentiasa mengubah taktik untuk mengelak dikesan pihak berkuasa ketika sibuk meratah hasil laut kita yang cukup besar nilainya.

“Sejak Kerajaan Sarawak membekukan lesen perikanan laut dalam terhadap nelayan Vietnam dan Thailand, mereka didapati terus mengubah modus operandi digunakan,” katanya.

Dalam kejadian terbaru, sekumpulan pemancing tempatan yang memancing di perairan Baronia, di Miri terserempak dengan tujuh kapal nelayan asing sedang sibuk menangkap ikan menggunakan pukat tunda gading.

“Difahamkan, walaupun operasi besar-besaran sudah dijalankan pihak berkuasa kita, namun mereka ini nampaknya tidak pernah serik. Mungkin sudah tiba masa kita mengambil tindakan lebih tegas dan ekstrim,” katanya.

Lee berkata, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama berkaitan perlu bertindak lebih pantas dan menyeluruh dalam menangani isu berkenaan, yang turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan.

“Jangan biarkan khazanah marin kita sudah musnah atau hilang barulah mula bertindak serius menangani kes ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan mahu membawa isu berkenaan ke Kabinet Sarawak untuk dibincangkan, seterusnya merangka strategi yang lebih berkesan bagi memerangi penyangak ikan itu.

Ini termasuk melaksanakan pemasangan tukun tiruan, dengan rekabentuknya boleh merosakkan pukat tunda gading digunakan nelayan asing ini, di Perairan Sarawak yang menjadi lokasi tumpuan penyangak ikan itu.

“Memang ada inisiatif itu dilaksanakan sebelum ini, cuma kita mahu ia diperluaskan, selain meningkatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan.

“Kita perlu merangka tindakan yang lebih tegas untuk memerangi kegiatan itu kerana tindakan menahan kru, merampas kapal dan hasil tangkapan, seterusnya saman seolah-olah tidak memberikan keinsafan pada mereka,” katanya.

Lee turut meminta Kerajaan Pusat di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu memandang serius terhadap kegiatan haram yang merugikan negara ini.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 10:56am
d