mutakhir

'Boleh bertanding'

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: “Anwar boleh bertanding,” kata bekas peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, N Surendran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Anwar layak atau tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson, 13 Oktober ini.

“Sebagai bekas peguam Anwar, saya tidak boleh memberi komen lanjut. Bagaimanapun saya boleh katakan ini, mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan jika individu itu diberikan pengampunan penuh (free pardon), dia boleh bertanding.

“Ini bermakna Anwar boleh bertanding,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Siti Zabedah Kasim sebelum ini menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas memberi penjelasan sama ada Anwar yang juga Presiden PKR layak bertanding atau tidak pada Oktober ini.

Nazir Hussin mendakwa tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa sabitan ke atas apa-apa hukuman adalah diketepikan oleh kerana pengampunan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada seseorang itu boleh bertanding mana-mana kerusi Parlimen atau DUN sebelum cukup tempoh lima tahun selepas pengampunan diberikan.

Siti Kasim pula mempersoalkan sama ada pembebasan Anwar adalah daripada pengurangan hukuman penjara lima tahun itu yang dikenakan terhadapnya atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong seperti yang disyorkan oleh Lembaga Parol.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 11:13am
d