mutakhir

Baju kurung 'RM28,000'...

Oleh Shahrinnahar Latib

AWALNYA, dia hanya mahu menjual baju kurung di sebuah laman web jual beli terkemuka dengan harga RM120, namun seorang peniaga dalam talian, di Kuantan terpaksa membayar sehingga RM28,980 hanya untuk mendapatkan wang jualan baju berkenaan, kelmarin.

Kejadian itu bermula ketika mangsa wanita berusia 21 tahun dan tinggal Bukit Setongkol, membuat iklan baju kurung berkenaan di lawan web jual beli itu, jam 4.43 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, tidak lama kemudian mangsa menerima komen daripada seorang wanita bernama Sazulyana yang berminat untuk membeli baju berkenaan dengan harga RM120.

“Mangsa berhubung dengan wanita itu sebelum memberikan nombor akaun banknya kepada suspek untuk urusan pembayaran. Bagaimanapun selepas membuat pembayaran, suspek meminta mangsa membuat pelbagai bayaran bagi mendapatkan wang sebanyak RM120 itu.

“Wanita berkenaan juga ada menerima slip kononnya daripada bank luar negara yang memaklumkan bahawa suspek sudah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya.

“Suspek mendakwa kononnya duit berkenaan tidak boleh dipindahkan ke dalam akaun mangsa kerana dia berada di luar negara dan mangsa diminta untuk membayar caj pemindahan wang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat pembayaran seperti yang diminta suspek sehingga berjumlah RM28,980 ke dalam dua akaun bank dengan lima transaksi.

“Mangsa yang membayar wang seperti diarahkan suspek bagaimanapun menyedari ditipu apabila wang bayaran dijanjikan sebelum itu tidak dimasukkan ke akaun banknya.

“Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dalam melakukan urusan jual beli melalui laman web selain media sosial bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa tipu sindiket berkenaan.

“Justeru, kami menyarankan orang ramai supaya tidak terburu-buru melakukan transaksi pembayaran tanpa membuat semakan daripada bank mahupun pihak berkuasa bagi mengelakkan diri ditipu,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 11:30am
d