mutakhir

Hutang RM58,000

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Seorang wanita menanggung beban hutang berjumlah RM58,000 akibat kad kreditnya disalahgunakan pihak tertentu untuk berjoli.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Liza, berusia 30 tahun berkata, kad kredit berkenaan, MyKad dan dokumen peribadi lain hilang selepas beg duitnya dicuri ketika bercuti di London, United Kingdom (UK) bersama rakannya awal tahun lalu.

Mangsa mendakwa dia kini berisiko diisytiharkan muflis dan hartanya disita akibat kegagalan melunaskan tunggakan kad kredit berkenaan.

Susulan kehilangan beg duit dan kad kredit berkenaan Liza membuat laporan polis di London, diikuti satu lagi laporan di Teluk Intan, Perak, selepas pulang ke Malaysia.

Selain itu Liza, mendakwa sudah memaklumkan kepada pihak bank untuk membatalkan semua kad kredit dan kad bank bagi mengelak ia disalah guna pihak tertentu.

Namun tiga bulan lalu, Liza menerima surat daripada pihak bank yang memaklumkan kad kreditnya tertunggak sejak setahun lalu dan dia perlu membayar dengan kadar segera bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan lanjut.

“Pihak bank tanpa berkompromi meminta saya membayar RM58,000 termasuk kadar faedah kerana gagal menjelaskan bayaran tunggakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Walaupun saya sudah menjelaskan kad kredit berkenaan hilang kerana dicuri dan tindakan pembatalan sudah dibuat namun pihak bank tetap menuntut bayaran,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), kelmarin.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 12:00pm
d