mutakhir

Siasatan JBPM selesai

Oleh Faris Fuad

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah menyerahkan maklumat penuh berkaitan siasatan kes Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata maklumat itu akan digunakan pihak berkaitan sebagai bahan bukti dalam prosiding mahkamah.

Ketika ini, katanya, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dikhuatiri mengganggu proses siasatan kes itu.

“Saya tidak boleh beri komen, bukti sudah diberikan kepada PDRM, mungkin akan mengganggu siasatan kalau beri maklum balas.

“Kita sudah beri maklumat dan hasil siasatan terkini kepada PDRM. Tidak ada perjumpaan susulan.

“Kes itu pun diklasifikasikan sebagai kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Tamat Latihan Kursus Diploma Sains Kebombaan Gred KB 29 Siri 1/2018, di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Md Ali Ismail.

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman pada 9 September lalu, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Sebelum ini, NSTP melaporkan, Samirah pernah membidas badan penyiasat yang didakwa tidak telus dalam menjalankan siasatan dan menuduh JBPM membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya.

Wanita itu turut dilaporkan berkata, biarpun sudah membuat permohonan kepada pihak JBPM, dia tidak menerima sebarang laporan mengenai perkembangan siasatan kerana ia diklasifikasi sebagai kes berprofil tinggi.

Namun, pihak JBPM menafikan dan berkata keputusan yang diumumkan adalah berdasarkan hasil siasatan terperinci selain pasukan K9.

Mengenai majlis tamat latihan itu, ia disertai 58 peserta terdiri daripada pelatih Gred KB29 yang mula melaporkan diri di akademi bomba, pada 1 Mac lalu.

Sepanjang tempoh kursus dilalui, peserta berkenaan didedahkan dengan ilmu dan kemahiran kebombaan meliputi pelbagai aspek teori serta praktikal termasuk kejuruteraan, pengurusan dan operasi kebombaan.

Dalam perkembangan lain, Amer menyifatkan pertukaran membabitkan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ke Sarawak sebagai Pengarah JBPM negeri itu sebagai prosedur biasa.

“Beliau ditukar atas dasar kenaikan pangkat, ada yang pencen dan kita mahu isi kekosongan.

“Ini semua perkara biasa dalam sistem pentadbiran kerja. Tiada sebarang insiden,” katanya.

Khirudin memulakan tugas rasmi di Sarawak pada 1 Oktober ini.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 1:41pm
d