mutakhir

Sorok Revolver bawah kerusi

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

POLIS Kelantan menahan seorang buruh bersama 370 pil kuda dan sembilan botol disyaki heroin bernilai RM25,400 dalam serbuan di rumah di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, semalam.

Dalam serbuan 5 pagi itu, polis turut merampas pistol jenis Revolver berwarna perak dan menyita wang tunai berjumlah RM666.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ketika serbuan dilakukan, pasukan polis bahagian Narkotik Pasir Mas melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki berusia 25 tahun yang didapati berada di hadapan rumah terbabit.

Beliau berkata, polis kemudiannya melakukan pemeriksaan dalam rumah dan terus ke bilik yang dikunci menggunakan kunci yang ditemui pada lelaki terbabit.

“Selepas pemeriksaan dilakukan di bilik milik suspek itu, polis menemui sembilan botol lut sinar bertudung kuning mengandungi serbuk putih disyaki heroin, serta 370 pil kuda yang diisi dalam masing-masing satu peket plastik biru dan lut sinar berangkai serta dua peket plastik lut sinar.

“Satu pucuk pistol jenis Revolver juga ditemui dalam balutan kain yang dimasukkan dalam satu plastik di bawah kerusi di bilik suspek,” katanya dalam sidang media, di Kota Bharu, hari ini.

Hasil siasatan dilakukan, Hasanuddin berkata, suspek yang bergerak sendirian mengaku menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal bulan Februari tahun ini di sekitar Rantau Panjang.

Katanya, pistol yang ditemui pula didakwa digunakan suspek untuk mempertahankan diri sebagai pengedar dadah selain perlu menjaga rumahnya itu daripada dipecah masuk pencuri.

“Berikutan itu suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah direman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Hasil ujian saringan awal juga polis mendapati suspek positif Methamphetamine.

“Mengikut statistik rampasan senjata api sepanjang tahun ini, sebanyak 16 kes membabitkan 19 senjata api dirampas berbanding 17 kes dengan 18 senjata api pada tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 2:37pm
d