mutakhir

Dividen 6 sen AS1M

Oleh Nora Mahpar

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan 6 sen seunit bagi pemegang akaun Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, ia membabitkan jumlah pembayaran RM755 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 440,000 pemegang akaun yang kini memiliki 12.7 bilion unit.

“AS1M mencatat pendapatan bersih RM671.6 juta, susut 7.3 peratus berbanding RM724.1 juta pada 2017, berikutan prestasi pasaran ekuiti domestik yang mencabar,” kata.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan agihan pendapatan AS1M dan pelancaran serta penjenamaan semula dana Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) di Kuala Lumpur, hari ini.

Zeti berkata, seiring dengan matlamatnya untuk memperluaskan tawaran produk unit amanah bagi memenuhi keperluan pelabur, PNB memperkenalkan dua dana unit amanah harga baru berdasarkan harga hadapan iaitu ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Katanya, dana baru itu akan memperluas tawaran semasa produk ASNB bagi segmen harga berubah daripada enam ke lapan meliputi kategori pertumbuhan, seimbang bercampur-campur dan konservatif bercampur-campur.

“ASN Equity 5 adalah dana pertumbuhan ekuiti khusus kepada pelabur generasi muda dengan matlamat pertumbuhan agresif dalam modal dan nilai bersih.

“Sementara ASN Sara 2 adalah dana konservatif aset bercampur-campur khusus untuk pelabur lebih matang dan tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Beliau berkata, harga tawaran permulaan bagi kedua-dua dana itu adalah RM1 seunit sepanjang penawaran permulaan selama 21 hari mulai 24 September.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 3:10pm
d