mutakhir

Selamba langgar 'road-block'

Oleh Shaiffulazhar Misri

BIMBANG dicekup menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar, seorang lelaki nekad melanggar sekatan jalan raya dilakukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di Jalan Klebang-Bandar Hilir, Melaka, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian 10.30 malam itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit berjaya ditahan selepas terjatuh daripada motosikalnya dan pemeriksaan mendapati, suspek positif dadah jenis opiet.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, suspek yang juga buruh binaan mendakwa dalam perjalanan ke kedai berhampiran.

“Sejurus ditahan, suspek diserahkan kepada anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Operasi bermula dari 8 malam hingga 12 tengah malam itu disertai seramai 55 anggota, termasuk pegawai JPJ dan 10 anggota AADK negeri.

Yang turut hadir, Pegawai Penyiasat AADK negeri, Mohd Zaki Hussein.

Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 51 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan.

Katanya, antara kesalahan dikesan dalam operasi empat jam itu adalah 25 pemandu tidak memiliki lesen memandu, lesen tamat tempoh (10), tiada perlindungan insurans (10), penggunaan lampu pelepasan intensiti tinggi (3), ubahsuai kenderaan (2), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (1) dan lain-lain (7).

“Sebanyak 365 kenderaan diperiksa dengan 51 saman dan 21 notis dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata, daripada 20 individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan, lima daripadanya positif dadah.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, masing-masing dua suspek positif dadah jenis methapetamine dan morfin, manakala seorang lagi ganja.

“Semua mereka berusia antara 20 hingga 50 tahun. Kelima-lima suspek kemudian dibawa ke Pejabat AADK negeri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 pindaan 1998,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 3:23pm
d