mutakhir

Beruk berjasa

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LELAKI orang kurang upaya (OKU) kini terpaksa bergantung harap dengan dua beruk jantan miliknya untuk membantu menyara keluarga.

Beruk itu dilatih Ibrahim Wan Abdul Rahman, 58, yang kudung kedua-dua kakinya sejak 2012, untuk memetik kelapa sejak lebih 30 tahun lalu itu bagi memastikan haiwan itu cekap membuat kerja apabila diarahkan.

Ibrahim berkata, kekurangan pada dirinya itu tidak pernah menjadi alasan untuk meraih simpati daripada orang lain.

“Enam tahun lalu, kaki kanan dipotong dari paras lutut disebabkan saluran darah tersumbat dan tiga tahun selepas itu, kaki sebelah kiri pula dipotong dari paras bawah lutut kerana jangkitan kuman.

“Sejak dari itu, pergerakan saya tidak lagi sepantas dulu. Setiap kali membawa beruk memetik kelapa, saya perlu mengengsot untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Motosikal roda tiga milik kakak saya digunakan untuk membawa beruk memetik kelapa di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baung, Kota Bharu, hari ini.

Bapa kepada 10 orang anak ini berkata, beruknya mampu menjatuhkan antara 100 hingga 200 kelapa sehari dengan upah yang diterima kira-kira RM20 hingga RM40.

“Meskipun pada mulanya agak rumit untuk saya mengajar serta melatih beruk ini, namun berkat kesabaran, haiwan berkenaan kini pakar dalam memetik kelapa.

“Bagi memastikan beruk sentiasa sihat dan cergas, saya memberi makan nasi, air milo serta air sarsi yang dicampurkan dengan telur mentah.

“Selain memetik kelapa, dua beruk saya ini juga diajar mampu melakukan perkara sama pada pelbagai pokok berbuah seperti jering, petai, durian, dan rambutan,” katanya yang juga mendapat bantuan bulanan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, upah yang diperoleh digunakan untuk perbelanjaan dua anaknya yang masih menuntut di Politeknik Kok Lanas dan seorang anak perempuan menghidap Sindrom Down dan ditempatkan di Pusat Asuhan Kanak-Kanak Spastik (Pusakas), Pengkalan Chepa.

“Tidak dinafikan, beruk ini secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan utama untuk membesarkan 10 orang anak yang kini berusia antara 30-an hingga 12 tahun.

“Bagi mencari pendapatan tambahan, saya amat berharap agar ada pihak yang dapat menyumbang mesin kelapa dan santan untuk digunakan sebagai alternatif meningkatkan sumber ekonomi keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 4:01pm
d