mutakhir

Naik taraf kereta api di Sabah

Oleh Norasikin Daineh

KERAJAAN Sabah menghentikan sementara penggunaan laluan kereta api dari Beaufort ke Kota Kinabalu sehingga selesai pemeriksaan penghadang landasan di sepanjang laluan.

Buat masa ini, laluan digunakan untuk kereta api dari Beaufort hanya berhenti di Stesen Kereta Api Kinarut sehingga dibenarkan meneruskan laluan ke Stesen Kereta Api Tanjung Aru.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata, pihaknya sedang menunggu laporan berhubung nahas di landasan kereta api berhampiran Tugu Peringatan di Putatan, semalam.

“Dalam masa sama, kita mengambil pendekatan drastik dengan mengarahkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) memeriksa semua penghadang yang tidak berfungsi di sepanjang laluan kereta api.

“Jadi buat masa ini, kita hentikan kereta api sehingga kita dibenarkan (beroperasi) kerana ia masih disiasat. (Laluan) Beaufort ke Kota Kinabalu sampai Kinarut sehingga semua penghadang diperiksa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Belia dan Sukan, Frankie Poon Ming Fun di pejabatnya di Kota Kinabalu, hari ini.

Peter berkata, kementeriannya juga dalam usaha untuk menaik taraf perkhidmatan kereta api di negeri ini dengan pembinaan landasan baharu yang tidak membabitkan kawasan laluan kenderaan lain.

“Saya berharap dalam waktu terdekat ini kita dapat menggantikan laluan baharu ke jalan lain iaitu keluar dari jalan raya terutama dalam bandar raya Kota Kinabalu.

“Kalau kita ada alternatif lain, tidak perlu penghadang sebab tiada kenderaan yang lalu, jadi kita memang akan ada landasan baharu kerana kita sedang menaik taraf untuk menukar kereta api sedia ada,” katanya.

Dalam kejadian 1.05 tengah hari semalam, seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas Proton Preve yang dinaiki mereka dirempuh kereta api sehingga diseret sejauh 200 meter di landasan terbabit.

Mangsa Daniel Shafwan Omar, 22, disahkan meninggal dunia 4.30 petang manakala Mohd Amir Khairi Abdul Ghani, 20, kritikal dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

2 parah kereta api rempuh kereta

[UPDATE] Daniel Shafwan meninggal dunia

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 5:15pm
d