mutakhir

Dua maut dalam nahas

Oleh Rosliza Mohamed

DUA maut termasuk seorang pelajar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 77 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Kampung Nibong, Tanah Merah, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa Ahmad Yusri Abdul Hadi, 16, yang menunggang motosikal parah pada badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, pemandu kereta Muhammad Izzarul Ariff Ibrahim, 20, yang turut parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli, manakala Ahmad Yusri yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 110Z dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh pelajar yang sedang menunggang motosikal terbabit.

“Kereta itu kemudian terbabas ke garaj rumah yang berada di tepi jalan dengan menyeret bersama motosikal pelajar itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Ahmad Yusri maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Izzarul Ariff meninggal dunia di Hospital Tanah Merah.

“Jenazah kemudian diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 6:59pm
d