mutakhir

Patutlah 'pakai' kereta mewah rupanya...

Oleh Nur Syazwana Mansor

GAYA hidup mewah seorang penoreh getah sehingga mampu memiliki kereta BMW E320i terbongkar selepas dia ditahan polis di Kubur Panjang, Mukim Rambai, Pendang kerana disyaki mengedar dadah, semalam.

Dalam tangkapan pada 1 pagi itu, suspek berusia 40-an ditahan dalam keadaan mencurigakan bersama 800 gram dadah jenis heroin dan syabu seberat 37 gram.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamzah berkata, suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang menerima maklumat berkaitan pengedaran dadah di kawasan itu.

“Pemeriksaan pada beg dibawa suspek menemui serbuk putih disyaki dadah jenis heroin bernilai kira-kita RM24,000.

“Turut ditemui 34 peket mengandungi dadah jenis syabu bernilai RM3,700 dan alat penimbang,” katanya pada sidang media di IPD Pendang, hari ini.

Katanya, polis turut merampas wang tunai RM2,245 dan menyita kereta BMW E320i serta motosikal Yamaha Y15 yang dipercayai dibeli suspek hasil kegiatan haram.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kes dadah dan memiliki bahan letupan.

“Suspek direman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 9:24pm
d