mutakhir

Semua Najib dah bayar!

Oleh BERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi 25 pertuduhan jenayah, selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hasil semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada jam 9 pagi, mendapati Najib, 65, sudah selesai membayar wang jaminan itu.

Pada 20 September lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan wang jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin sementara kesnya selesai dan menetapkan 16 November untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar pada 21 September (Jumaat) dan RM500,000 setiap hari sebelum atau pada 28 September.

Pada 21 September lalu Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah membayar jaminan RM1 juta iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5juta itu.

Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Najib iaitu Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Najib pada 4 Julai lalu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan pada 8 Ogos lalu, dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Oktober.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 11:46am
d