mutakhir

Guna cara sendiri

Oleh Yushaimi Yahaya

New York: Malaysia membuat usaha tersendiri dalam usaha membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low dari China.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendekatan itu dibuat kerana Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

“Keadaannya rumit untuk kami menuduh China melindungi beliau, maka kami cuba menggunakan cara tersendiri untuk membawa Jho Low dari China,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sesi Majlis Hubungan Luar yang sesak dipenuhi hadirin di sini, semalam.

Jho Low kerap dirujuk sebagai perancang utama di sebalik skandal 1MDB.

Khamis lalu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa dengan 25 pertuduhan rasuah membabitkan RM2.3 bilion, dipercayai diperoleh daripada 1MDB.

Najib mengaku tidak bersalah. Pihak berkuasa mendakwa lebih daripada 50 individu menerima dana daripada akaun berkaitan 1MDB.

Menjawab soalan berhubung dakwaan Jho Low kononnya beliau aset perisikan China, Dr Mahathir berpendapat China tidak beranggapan begitu.

“Saya tidak fikir China mempunyai rasa hormat terhadapnya,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengapa China tidak menyerahkan Jho Low kepada Malaysia, Dr Mahathir berkata: “Mungkin dia menjadi bahan tawar-menawar atau pertukaran seperti itu.”

Kepada soalan berasingan, Dr Mahathir mengakui mustahil untuk menangkap dalang sebenar kerana bilangan mereka yang terbabit ‘terlalu ramai’.

“Bilangan mereka yang terbabit dalam pengubahan wang haram terlalu besar dan mustahil bagi kami menahan semuanya pada masa sama. Ia perlu dilakukan secara berperingkat.

“Kita perlu mendapatkan yang utama dulu. Oleh kerana kami perlu melakukannya mengikut undang-undang, ini mengambil masa.

“Kita ingin mengemukakan bukti sahih yang diterima mahkamah dan untuk itu, banyak siasatan dan dokumen diperlukan,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 11:53am
d