mutakhir

Ibu bekas Pengarang Kumpulan HM meninggal dunia

Oleh Faliq Lajim

IBU bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Datuk Mustapa Omar meninggal dunia akibat sakit tua di kediaman anaknya di Bandar Baru Kuala Selangor di Kuala Selangor, hari ini. .

Allahyarham Che Wah Taib, 90, yang terlantar uzur sejak tiga tahun lalu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.45 pagi.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Ibrahim selepas solat Jumaat sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai, Kuala Selangor.

Mustapa yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik berkata, beliau bergegas pulang ke kampung halaman selepas menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga memaklumkan keadaan ibunya yang tidak sedarkan diri.

“Sebelum ini, saya memang sentiasa berulang-alik dari Shah Alam ke Kuala Selangor untuk menjenguk ibu yang tinggal di rumah kakak di Kuala Selangor.

“Ibu sememangnya sudah tidak mampu lagi bangun dan hanya terlantar di katil sejak tiga tahun lalu.

“Namun, semuanya sudah tertulis dan kami semua reda dengan pemergian ibu yang menemui Ilahi dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Mustapa berkata, Allahyarham tidak mempunyai sebarang penyakit dan dijaga oleh kakaknya sejak 2013.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 4:35pm
d