mutakhir

Enam kampung di Baling terjejas banjir

Oleh Safuri Kamarudin

“AIR naik begitu cepat menyebabkan saya tidak sempat menyelamat apa-apa barang kerana terus keluar dari rumah ke kawasan selamat disebabkan bimbang kejadian buruk berlaku.”

Begitu kata Mohd Daud Abu Mansor, 47, selepas rumahnya di Kampung Banggol Derum, Bongor, Baling dinaiki air setinggi satu meter pada 5 pagi hari ini.

Dia antara 350 penduduk membabitkan 80 buah rumah di enam kampung dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan selama empat jam sejak 11 malam semalam.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Paya Siput, Tanjung Merbau, Bandar, Banggol Derum, Pokok Setol dan Carok Sikin.

Mohd Daud berkata, ketika kejadian dia sekeluarga sedang tidur sebelum terjaga apabila menyedari air masuk ke dalam rumah.

“Semua barang seperti peti ais, almari, dapur tidak sempat diselamatkan kerana air masuk dengan laju.

“Ini kali kedua dalam tempoh seminggu tetapi tidak seteruk kejadian awal pagi tadi, tambahan pula cuaca tidak menentu dan kerap hujan setiap petang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hujan lebat menyebabkan air Sungai Ketil mula melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal di kawasan rendah.

“Bagaimanapun, tidak ada mangsa yang dipindahkan, namun semua agensi penyelamat terus memantau kawasan yang terbabit dengan bencana itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 5:05pm
d