mutakhir

284 ubat, kosmetik tak berdaftar dirampas

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Kesihatan merampas 284 ubat dan kosmetik pelbagai jenis yang tidak berdaftar dalam satu operasi pemeriksaan bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada 24 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) itu dijalankan bagi memastikan kemasukan atau pengimportan ubatan serta kosmetik mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan di bawah Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984.

Menurutnya, ubat-ubatan berkenaan dibawa oleh penumpang warga asing yang bekerja di Malaysia.

“Kesemua produk yang dirampas akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, individu terbabit akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

“Manakala, untuk kesalahan berikutnya, pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, pihaknya ingin mengingatkan bahawa ubat-ubatan yang diimport ke Malaysia perlu berdaftar dengan kementerian dan diimport oleh pengimport yang mempunyai lesen sahaja.

Dr Noor Hisham berkata, pengimportan ubat yang tidak berdaftar terutama untuk kegunaan individu hanya dibenarkan bagi kegunaan selama sebulan oleh seorang individu sahaja di bawah Akta dan Peraturan yang dikuatkuasakan.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk-produk yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan kementerian.

“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

“Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Selain itu, aduan juga boleh disalurkan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi di setiap negeri supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seumpama itu di pasaran.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 6:36pm
d