mutakhir

Proses arak tiruan di kawasan perumahan [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket pemprosesan arak tiruan di sebuah rumah di Taman Klang Utama, Klang, kelmarin.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam berkata, hasil siasatan mendapati premis itu menjadi tempat memproses arak tiruan pelbagai jenama dan beberapa tong dipercayai mengandungi ‘methanol’ dan perisa ‘brandy’ turut dijumpai.

“Kuantiti arak dirampas dianggarkan berjumlah 1,966 liter membabitkan nilai RM105,800. Seorang rakyat tempatan berusia 63 tahun iaitu pemilik turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Sindiket itu menjadikan kawasan perumahan awam sebagai lokasi memproses arak tiruan untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam di Pelabuhan Klang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Subromaniam berkata, arak tiruan pelbagai jenama itu dipercayai dijual di pasaran tempatan dengan mensasarkan warga asing dan harganya jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan untuk melihat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes kematian akibat keracunan methanol.

“Kes disiasat mengikut beberapa undang-undang bertulis seperti Seksyen 74 Akta Eksais(Akta 176) 1976 iaitu mengelak duti eksais dan pengilangan haram.

“Selain itu, ia disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 (Akta 165) iaitu menyimpan, menggunakan atau membenarkan premis digunakan sebagai tempat memproses samsu haram.

“Ia turut merangkumi Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1976 iaitu dan menyimpan bir belum lulus kastam,” katanya memaklumkan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi pemeriksaan ke atas semua premis menjual arak.

Subromananiam berkata, secara keseluruhan, pihaknya menggempur 220 premis menjual arak di sekitar Lembah Klang susulan kes keracunan alkohol yang mengorbankan puluhan nyawa, baru-baru ini.

Beliau berkata, semua serbuan dalam operasi khas itu dijalankan secara berasingan sepanjang tempoh sejak kes pertama dilaporkan pada 17 September lalu.

“Hasil serbuan membawa kepada rampasan lebih 4,000 liter minuman keras di semua premis terbabit.

“Dalam semua 220 serbuan itu, kami turut menahan 34 individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan,” katanya.

NSTP melaporkan selepas tragedi arak beracun mengandungi metanol didedahkan media, angka kematian mangsa terus meningkat apabila 40 individu disahkan mati di seluruh negara sehingga semalam.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 7:08pm
d