mutakhir

Lima sebab UMNO perlu bangkit semula

Oleh Mohd Azrone Sarabatin; Manirajan Ramasamy; Mohd Nasaruddin Parzi dan Norain Mohamed Radhi

UMNO menggariskan lima sebab utama mengapa parti Melayu itu perlu bangkit dan mesti dibina semula selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada Mei lalu.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan ketika memperincikan semua sebab itu mengakui kebangkitan yang ingin dibawa UMNO pasti berdepan ranjau perjalanan cukup panjang.

“Membangunkan UMNO pasca PRU-14 adalah sangat sukar. Saya jangkakan bahawa ia memerlukan satu proses yang akan merentas zaman untuk pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan serentak perhimpunan ketiga-tiga sayap UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, malam ini.

Turut sama, pemimpin ketiga-tiga sayap parti itu serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO.

Pertama, Mohamad menjelaskan UMNO mesti dibangkitkan semula kerana inilah parti yang satu-satunya menjadi dukungan orang Melayu.

“Kita tidak pernah kenal parti lain. Kita tidak mahu pun menjadi parti lain. Dalam baik, dalam lemah, dalam kuat, dalam lelahnya, inilah parti kita.

“Jadi, sekali terjatuh, jangan kita buang UMNO ini. Itu bukan cara kita. Dan saya pasti itu juga bukan cara perwakilan semua,” katanya.

Kedua, beliau berkata, ahli dan pemimpin yang setia perlu memikul tanggungjawab di atas kekalahan parti.

“Kita tidak boleh lari daripada memikul tanggungjawab atas penolakan rakyat terhadap UMNO. Saya memberitahu diri saya, seumur masa, saya akan dihantui oleh rasa bersalah kerana tewasnya UMNO. Saya pasti ia akan menghantui hidup saudara sekalian juga,” katanya.

Mohamad berkata, sebab ketiga mengapa pemimpin dan ahli memilih laluan sukar kerana UMNO adalah satu-satunya parti Melayu yang dominan.

“UMNO mesti menjadi ‘the safety net for the Malays’. Kalau kita biarkan UMNO ini tanpa peduli, siapa lagi yang akan memperjuangkan kepentingan strategik bangsa.

“Pakatan Harapan tidak mewakili majoriti parti Melayu. Terlalu kecil peranannya dalam politik Melayu. Kerana itu, tuntutan membangunkan semula UMNO, merawatnya, memulihkan wibawanya, bukan lagi satu pilihan. Tetapi kewajipan,” katanya.

Tanpanya, kata beliau, UMNO akan hilang gerakan ‘Melayu’ yang sebenarnya dan kehilangan parti ditubuhkan pada 1946 sebagai wadah perjuangan kebangsaan dari pentas politik Malaysia hingga akan menjerumuskan bangsa Melayu ke kedudukan yang lemah dan terancam.

Sebab keempat, Mohamad berkata, tiada sebab bagi pemimpin dan ahli untuk tidak membangunkan UMNO kembali kerana selama 60 tahun, mereka sudah menerima banyak sekali manfaat daripadanya.

Terakhir, beliau berkata, UMNO diperlukan dalam landskap politik negara sebagai usaha mengukuhkan demokrasi di Malaysia.

“Kerana itu, kita harus memastikan bahawa dalam Malaysia yang semakin demokratik ini, UMNO terus dapat berperanan dan berfungsi.

“Walau siapa pun yang memerintah, jika parti yang tewas itu kuat dan berfungsi dengan baik, maka pemenang paling besar ialah demokrasi. Dan apabila demokrasi menang, rakyat akan menang,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 9:59pm
d