mutakhir

[UPDATE] Tiada rakyat Malaysia terbabit gempa bumi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Luar mengesahkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa bumi di Sulawesi Tengah, Indonesia, hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Kementerian Luar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsul Kehormat di Makassar sudah menghubungi pelajar Malaysia yang berada sekitar Makassar, Indonesia bagi memastikan keselamatan mereka.

Menurutnya, rakyat Malaysia diminta supaya sentiasa tenang dan terus mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini berikutan masih terdapat beberapa gempa susulan.

“Rakyat Malaysia di sekitar Sulawesi Tengah yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my/ jkonsular@gmail.com atau nombor telefon +62 813 8081 3036,” katanya.

Gempa bumi dengan kekuatan berukuran 7.7 magnitud dilaporkan melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada 5.02 petang (waktu tempatan).

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan mengesahkan hanya seorang mangsa meninggal dunia manakala 10 yang lain cedera.

Gempa itu turut mengakibatkan keruntuhan dan kerosakan rumah dan bangunan.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 11:48pm
d