mutakhir

Tegur konsep kuasa veto [METROTV]

Oleh Yushaimi Yahaya

TUN Dr Mahathir Mohamad dengan penuh ketegasan memahat kepulangannya ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dengan menyelar keengganan badan dunia itu mendemokrasikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Menyambung apa yang beliau tinggalkan 15 tahun lalu, Perdana Menteri ketika menyampaikan kenyataan negara pada UNGA ke-73 di New York, hari ini, menegur konsep kuasa veto yang dimiliki Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, China, Russia dan Perancis dalam UNSC.

Sebelum ini, beliau pernah mengesyorkan kuasa veto dalam UNSC tidak hanya dipegang oleh satu anggota tetap majlis itu, sebaliknya ia dipegang sekurang-kurangnya oleh dua anggota tetap UNSC dengan disokong tiga ahli tidak tetap UNSC.

“Saya pernah mencadangkan yang kuasa veto tidak wajar ditentukan hanya satu anggota tetap tetapi sekurang-kurangnya dua anggota tetap dengan sokongan tiga anggota tidak tetap UNSC.

“UNGA kemudian sepatutnya menyokong keputusan yang dibuat UNSC dengan majoriti mudah. Saya tidak mahu bercakap panjang,” katanya.

Dalam kenyataannya, Dr Mahathir berkata Malaysia mengalu-alukan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghapuskan kemiskinan, melindungi bumi dan mengekalkan keamanan serta kemakmuran.

“Namun, saya juga ingin merujuk kepada keperluan reformasi dalam pertubuhan ini. Lima negara dengan berasaskan kepada kemenangan mereka lebih 70 tahun lalu tidak boleh menuntut hak untuk mencengkam dunia sebagai tebusan buat selama-lamanya.

“Mereka tidak boleh mendabik dada, berhujah mengenai demokrasi dan perubahan regim negara di serata dunia tatkala mereka menafikan demokrasi dalam badan dunia ini,” katanya.

Dr Mahathir sememangnya dikenali sebagai pejuang yang cekal menuntut pemansuhan kuasa veto yang dipegang lima kuasa besar dunia apabila ramai pengkritik berpendapat kuasa veto adalah punca utama kejumudan pihak antarabangsa menangani jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

PBB turut menjadi tumpuan kritikan kerana keengganan memansuhkan sistem veto, yang mana pengkritik mendakwa berlaku kerana kuasa-kuasa besar itu menjadi penaja utama operasi serta program PBB.

Dr Mahathir berkata, meskipun beliau mengakui dunia tanpa PBB akan huru-hara, tiada sesiapa pun harus menjadi mangsa ugutan menggunakan kekangan bantuan kewangan.

“Kita perlukan PBB, kita perlu membiayainya dengan dana yang mencukupi," katanya.

Tambah beliau, keadaan dunia kini jauh lebih teruk berbanding kali terakhir beliau berucap di UNGA 15 tahun lalu.

“Kali terakhir bila saya berucap di sini pada 2003, saya merungut mengenai bagaimana dunia sudah hilang pedoman. Saya mengeluh kerana pada hakikatnya, negara kecil terus menjadi mangsa belas kasihan mereka yang berkuasa.

“Saya berhujah mengenai keperluan untuk dunia membangun memacu pembaharuan, menambah baik pembangunan keupayaan dan mempelbagaikan ekonomi. Kita perlu kekal berhak menentukan masa depan kita.

“Tetapi hari ini, selepas 15 tahun, dunia tidak banyak berubah. Kalau ada pun, jauh lebih teruk berbanding 15 tahun lalu.

“Hari ini, dunia dalam keadaan kucar kacir dari segi ekonomi, sosial dan politik. Saya juga ingin menekankan bahawa peranan PBB ialah untuk mengakhiri peperangan antara negara.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemikiran kita, cara penilaian kita. Bunuh seorang, jadi pembunuh, bunuh sejuta dan anda jadi hero,” katanya.

Dr Mahathir berkata pengeluar senjata menjual senjata mereka kepada negara kecil yang berperang dengan tujuan menguji hasil keluaran mereka di samping mengaut keuntungan lumayan.

“Mereka mengaut keuntungan tanpa rasa malu hasil daripada kematian dan kemusnahan yang mereka akibatkan. Lumrahnya, negara yang kononnya cintakan keamanan sering menjalankan perniagaan yang mengaibkan ini,” katanya

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 12:40am
d