mutakhir

Kenapa rotan sampai lebam?

Oleh Mary Victoria Dass

“SAYA dan suami terkilan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab guru jasmani di sekolah swasta berkenaan yang bebas merotan anak lelaki kami tanpa alasan munasabah hingga mengakibatkan punggungnya lebam serta menanggung kesakitan,” kata suri rumah dikenali sebagai Lim, 44.

Lim berkata, kejadian berlaku di sekolah swasta di Plentong, Masai, Johor Bahru, pagi semalam.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian ketika memandikan anaknya yang berusia lapan tahun di kediaman keluarga di Austin, Tebrau.

Katanya, dia terkejut melihat lebam di bahagian kanan dan kiri punggung anak dan ia kelihatan seperti kesan dirotan.

“Apabila saya bertanya kepada anak, dia menyatakan mengalami kesan berkenaan akibat dirotan guru jasmani berusia 30-an di sekolah berkenaan.

“Saya dan suami menghubungi pengurusan sekolah bagi mendapatkan kesahihan dan perkara itu diakui guru besar.

“Kami difahamkan guru berkenaan merotan anak dan tiga murid lain sebagai hukuman kerana mereka tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam sukan,” katanya.

Lim berkata, dia dan suami tidak berpuas hati dengan pelaksanaan hukuman rotan di sekolah terutama bagi kanak-kanak.

Menurutnya, perbuatan berkenaan mengakibatkan anaknya terpaksa menanggung kesakitan selain menerima rawatan di klinik berhampiran.

“Kami membayar yuran RM700 sebulan, namun tidak sangka anak menerima hadiah rotan percuma.

“Saya dan suami memasukkan anak ke sekolah swasta kerana yakin sekolah berkenaan menawarkan pembelajaran terbaik dan selesa serta tidak menjangka anak ditimpa pengalaman buruk seumpama ini.

“Sekiranya mahu mengadu berkaitan anak, guru berkenaan boleh menghubungi saya atau suami dan bukan merotan sesuka hati,” katanya.

Lim turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 1:52am
d