mutakhir

PAS bantah pencalonan Anwar

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PAS mengemukakan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hari ini.

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menghantar surat bantahan kepada pegawai SPR bertugas pada penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), jam 9.30 pagi.

Katanya, bantahan itu berkaitan kelayakan Ketua Umum PKR sebagai calon dalam pilihan paya mengikut Perlembagaan dan undang-undang Malaysia.

“Secara prinsipnya, Pegawai Pengurus SPR sudah mengumumkan tujuh calon diterima. Saya tidak pasti sama ada bantahan kami diterima atau tidak, tetapi kami akan meneruskan bantahan ini.

“Kami menuntut SPR memaklumkan kepada kami sama ada mereka menerima atau menolaknya.

“PAS berasa bantahan ini berasas,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon di perkarangan Dewan MPPD di Port Dickson.

Anwar dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRK Port Dickson.

Sementara itu, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, pengundi awal iaitu anggota tentera menjadi harapan beliau memperoleh undi tinggi menyaingi enam calon lain.

“Saya adalah suara mereka (tentera) dan veteran selain penduduk Melayu di Port Dickson. Saya akan pastikan suara mereka didengari jika saya dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 12:39pm
d