mutakhir

Saiful enggan kenang masa silam

Oleh Syed Umar Ariff

“YA, bagus rasanya.”

Mohd Saiful Bukhari Azlan, 33, menjawab ringkas ketika ditanya perasaannya bertemu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga majikannya satu ketika dulu.

Saiful Bukhari menegaskan mahu melangkah ke depan dan jauh daripada kontroversi masa lampaunya bersama Anwar lebih sedekad lalu.

Kedua-duanya menjadi tumpuan ramai apabila Saiful Bukhari mendakwa diliwat Anwar hingga mengheret ahli politik veteran itu ke penjara.

Ditanya sama ada beliau ‘letih’ kerana terus dipalit oleh kontroversi berkenaan, Saiful Bukhari menjawab: “Saya tidak tahu.”

Bagaimanapun, beliau menegaskan penyertaannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bukan didorong oleh dendam.

“Semua itu adalah kisah silam. Keadilan sudah ditegakkan dan dia (Anwar) menjalani hukuman.

“Saya tidak akan menggunakan apa yang berlaku antara kami sebagai modal berkempen.

“Kami bertegur sapa dalam dewan (ketika sesi penamaan calon) tadi. Tiada salahnya menentang bekas guru kita,” katanya.

Ditanya mengapa memilih bertanding di Port Dickson dan bukannya tiga PRK sebelum ini jika benar bukan mahu menentang Anwar, Saiful Bukhari berkata:

“Port Dickson adalah platform bagus untuk ahli politik muda mencari tapak.

“Saya ingin bertanding di kawasan yang ada kenangan kerana saya membesar di sini ketika zaman kanak-kanak,” katanya.

Pada Jun 2008, beliau yang ketika itu menjadi pembantu peribadi kepada Anwar, membuat laporan polis mendakwa diliwat oleh pemimpin itu di kondominium di ibu negara.

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman ke atas Anwar dan menjatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari.

Pada 16 Mei lalu, Anwar menerima pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Lebih matang dan sudah berumahtangga, Saiful Bukhari mempunyai pandangan berbeza terhadap kisah lampaunya membabitkan Anwar.

“Sudah lama kami tidak berjumpa,” katanya.

Beliau berkata, kempennya akan berpusat terhadap menentang usaha pilihan raya terancang.

“Malaysia baru memilih kerajaan baharu, maka pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh singkat akan mewujudkan suasana politik yang tidak stabil,” katanya.

Beliau akan membentangkan manifesto dalam beberapa hari lagi, dengan tumpuan kepada ‘melangkah ke hadapan dengan kestabilan’.

Ketika sesi pengumuman rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Port Dickson, Khairy Maamor, Saiful Bukhari menjadi mangsa ‘boo’ oleh penyokong Anwar setiap kali namanya disebut.

Bagaimanapun, Saiful Bukhari yang tampil tanpa kumpulan penyokong, kekal tenang berdepan situasi itu.

“Saya tidak ada jentera. Tiada penaja. Saya tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik, namun saya ada pasukan sendiri termasuk isteri yang membantu kempen,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 3:28pm
d