mutakhir

Khemah KWSP jadi tumpuan

Oleh Shamsul Munir Safini

KHEMAH pameran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi tumpuan pengunjung pada Karnival Jom Heboh anjuran Media Prima Berhad yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, hari ini.

Pengunjung terdiri daripada golongan suri rumah tidak melepaskan peluang untuk menyimpan minimum RM5 di dalam akaun KWSP masing-masing melalui Program Sukarela Insentif (SURI).

Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani berkata, rakyat memperoleh pelbagai kemudahan melalui agensi yang membuat pameran hari ini selain barangan promosi ditawarkan.

Beliau berkata, mereka yang hadir juga dapat maklumat mengenai program SURI yang diumumkan kerajaan bagi membantu suri rumah meningkatkan sekuriti pendapatan mereka.

“Di khemah pameran KWSP, suri rumah dapat mendaftar dengan agensi itu bagi mendapat faedah program SURI. Ia adalah sesuatu yang positif dan membantu rakyat,” katanya kepada NSTP apabila ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, Jom Heboh kali ke-15 itu buat pertama kalinya mendapat penyertaan daripada agensi seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan KWSP.

Beliau berkata, penyertaan pertama kali itu bagi memberi galakan kepada orang ramai menyimpan selain menyertai program SURI yang diumumkan kerajaan.

“Batu Kawan menjadi lokasi ketiga karnival Jom Heboh pada tahun ini. Karnival ini sentiasa mendapat perhatian di seluruh negara,” katanya.

Johan berkata, jika pihaknya mendapat tajaan mencukupi, penganjuran karnival itu akan diperluaskan sehingga ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Beliau berkata, sambutan dan kejayaan program itu adalah petunjuk positif dan momentum terbaik kepada Media Prima Berhad terutama bagi rangkaian televisyennya.

“Orang ramai dapat bertemu dan beramah mesra dengan pelakon dan artis selain melawat khemah yang disediakan mengikut slot program disiarkan di saluran Media Prima.

“Antara khemah pameran yang disediakan termasuk Bananana! Land, Drama Sangat, Kita Juara dan Raudhah,” katanya.

Jom Heboh Batu Kawan yang berlangsung bermula hari ini sehingga esok itu usaha bagi membolehkan rangkaian televisyen Media Prima Berhad mendekati penonton mereka.

Selain pameran daripada agensi kerajaan dan jualan promosi, orang ramai juga berpeluang bertemu dengan barisan personaliti TV3 selain beriadah bersama keluarga pada karnival yang bermula pada jam 10 pagi sehingga 10 malam itu.

Pada malam ini dan malam esok diadakan Konsert Jom Heboh yang bakal dibarisi beberapa artis terkenal tanah air.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 7:21pm
d