mutakhir

Hutan simpan di Pahang terbakar

Oleh Nik Sukry Ramli

KIRA-KIRA 80 hektar kawasan hutan simpan dan ladang kelapa sawit di Jalan Kuantan-Segamat dilaporkan terbakar sejak pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 8.40 pagi tadi dan masih memantau kawasan berkenaan berikutan tidak ada laluan masuk ke kawasan punca kebakaran terbabit.

“Bentuk muka bumi menjadi penghalang terbesar untuk tugas memadam kebakaran ini... kami sudah menggunakan laluan jalan gambut sejauh kira-kira dua kilometer selepas perkampungan Orang Asli Melogo dan tidak ada laluan alternatif untuk ke sana (tempat punca kebakaran).

“Kita juga sudah meminta bantuan kakitangan dari Jabatan Perhutanan negeri dan mereka juga mengakui kawasan hutan simpan itu sukar diakses... ada terusan serta kesan tinggalan aktiviti pembalakan sebelum ini dan ini semua menyukarkan tugas kami untuk memasuki kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, setakat ini seramai 23 kakitangan Jabatan Perhutanan negeri dan tiga kakitangan Jabatan Alam Sekitar masih berada di lokasi kejadian bersama pegawai dan anggota JBPM Pahang untuk memantau kawasan kebakaran itu daripada terus merebak.

Katanya, operasi akan disambung esok dan pihaknya sedang berbincang dengan pengurusan ladang sawit berkenaan untuk menggunakan jentera berat membuat laluan sementara bagi memudahkan operasi mengawal serta memadam kebakaran dilakukan.

“Kita juga akan meminta bantuan ibu pejabat JBPM untuk khidmat helikopter bagi memudahkan lagi tugas pemantauan,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 9:14pm
d