mutakhir

Jenama semula BN

Oleh Mohd Azrone Sarabatin; Mohd Nasaruddin Parzi dan Luqman Arif Abdul Karim

BARISAN NASIONAL (BN) akan dijenamakan semula menjadi satu gabungan baharu membabitkan penyertaan bukan saja parti politik malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, usaha itu akan dilakukan sebaik rundingan dengan rakan komponen sedia ada dimuktamadkan.

Menerusinya, beliau berkata, UMNO, MCA, MIC, MyPPP dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) terus kekal bersama, di samping penyertaan parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama.

“(Ia juga) membabitkan penyertaan parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong parti ini, (di samping penyertaan) NGO,” katanya pada ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Ini ucapan sulung Ahmad Zahid selaku Presiden selepas menang jawatan itu pada pemilihan parti Jun lalu.

Majlis turut dihadiri bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah serta Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa pemimpin parti itu.

Penjenamaan semula itu antara yang terkandung dalam tujuh teras merangkumi 21 langkah akan dilaksana UMNO dan BN untuk kembali bangkit selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Gabungan baru itu nanti, kata Ahmad Zahid, akan membolehkan pendaftaran individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli BN tanpa melalui mana-mana parti politik.

Langkah lain, katanya, UMNO mencadangkan had umur keahlian parti diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun selaras keputusan kerajaan memutuskan had umur pengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Beliau berkata, UMNO juga akan memudahkan proses penerimaan kemasukan ahli ke dalam parti itu dan usaha pemutihan ke atas senarai pangkalan data ahli akan dikemas kini segera.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak perlu merintis pembaharuan dengan membuka keahliannya kepada kaum lain untuk kekal relevan meskipun kecundang pada PRU-14.

Katanya, kebersamaan UMNO dalam Parti Perikatan dulu, sebelum membentuk BN ialah bukti bahawa ia menghargai peranan parti yang berlandaskan kepada kepelbagaian kaum.

Beliau juga mahu setiap ahli UMNO menyemat peringatan bahawa parti itu tidak ‘memeluk’ pendirian berunsur perkauman, berat sebelah dan prejudis malah bukan ancaman kepada kaum lain kerana Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan rakyat majmuk di negara ini.

“Jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa. Kita sudah buktikan bahawa UMNO sentiasa bertindak bersandarkan prinsip ‘bijaksana Melayu’ dan meletakkan ‘al-adlu wal-ihsan’ (adil dan ihsan) sebagai kompas moral dalam setiap tindakan.

“Hakikatnya, hari ini orang Melayulah yang paling terdedah dengan sikap berat sebelah dan prejudis bangsa lain kepadanya sehingga dituduh bodoh serta kononnya pemalas.

“Kita dikatakan terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan, malah lebih menyedikan disebut sebagai bangsa pengemis. Amat menghairankan mereka dalam saf kepemimpinan kerajaan hari ini rela bangsanya dihina sebegitu,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 11:26pm
d